Alhamdulillah..alhamdulillah..alhamdulillah..
Hari ini, tanggal 7 November 2012, genap sebulan abang menjejakkan kaki di bumi Australia (OZ) ni dan bergelar seorang pelajar PhD. Maaf, abang tak dapat update sekerap yang dijangka (seminggu sekali..huhu..), tapi abang akan cuba perbaiki insyaAllah. Banyak sangat benda berlaku selama sebulan ni, dan insyaAllah abang akan cerita sedikit sebanyak, bukan setakat untuk tahu perkembangan abangmu ini (huhu..), tapi untuk dapat sebanyak manfaat daripadanya insyaAllah.
Minggu kedua abang di sini (15-21/10/2012) agak membosankan rasanya. Abang banyak kumpul jurnal berkaitan tocopherol dan tocotrienol, untuk faham apa bendanya dua benda ni, apa faedahnya, kenapa orang kata tocotrienol lagi baik daripada tocopherol, dan segala macam lagi berkaitan keduanya. Oh ya, tocopherol dan tocotrienol ni adalah dua phytonutrient atau nutrien faito (haha..abang pun tak tahu nak terjemah macamana..senang cakap ni macam vitamin la) yang ada secara semula jadi (baca: ciptaan Allah yang Maha Halus) dalam minyak kelapa sawit. Kiranya benda yang elok dimasukkan dalam makanan. Adik tahu tak abang punya projek pasal minyak kelapa sawit? Abang rasa pernah bagitahu sebelum ni, tapi eloklah abang cerita sikit kat sini semula. InsyaAllah projek abang berkisar penghasilan emulsion (haih..ni lagi satu susah nak terjemah..emulsi kot?huhu..kiranya campuran minyak dengan air la..kalau rajin cuba cari kat internet emulsion tu apa..menarik tau!) daripada minyak kelapa sawit yang mengandungi phytonutrients yang abang sebut sebelum ni. Jadi projek abang akan menggunakan beberapa jenis spectroscopies (hmm..spektroskopi?huhu..) untuk tengok kedudukan phytonutrients ni dalam sistem emulsi (haha..lawak plak terjemah camni..) supaya dapat tahu sama ada ia stabil atau tidak. Abang rasa adik mungkin kurang jelas lagi projek abang kan? InsyaAllah abang akan cerita panjang lain kali, bila abang dah pasti halatuju projek ni, faham sepenuhnya kepentingannya, dan yakin untuk kongsi dengan semua.
Ok, berbalik kepada pencarian abang tentang phytonutrients tadi. Asalnya abang ingat tak perlu tahu sangat pasal benda ni, tapi masa jumpa supervisor (SV) abang yang dari CSIRO minggu lepas (Dr. Mary Ann nama dia), dia ada sebut yang orang sekarang tengah kaji pasal tocotrienol, sebab kebaikan dan manfaat yang banyak melalui pengambilannya dalam diet manusia. Katanya, pengkaji mendakwa yang tocopherol ada kesan sampingan kepada manusia, begitu juga B-carotene, sejenis lagi bahan tambahan dalam makanan yang sebelum ini sangat digalakkan pengambilannya seperti vitamin untuk kesihatan kita. Untuk makluman, B-carotene juga terdapat banyak dalam minyak kelapa sawit! Kalau adik tanya Mama, mesti Mama pernah dengar minyak kelapa sawit warna merah jenama Carotino. Itu satu contoh minyak kelapa sawit yang diperkaya dengan B-carotene yang berkhasiat. Jadi untuk membuktikan kata-kata SV abang tu, abang kenalah baca dan baca dan baca. Tapi setakat ni, abang kumpul dulu jurnal-jurnal yang berkaitan, tunggu masa sesuai, baru baca dan fahamkan (bila ntah masa yg sesuai..huhu..bila dah nak jumpa SV abang tu la kot!hehe..).
Alhamdulillah pada hari khamis minggu kedua tu (18/10/2012), buat pertama kali abang join perjumpaan mingguan dengan kumpulan pelajar Ph.D di bawah seliaan SV abang di Monash ni, Prof. Don McNaughton. Minggu tu ada presentation daripada salah seorang daripada ahli kumpulan abang ni, seingat abang tentang kajian idetifikasi butiran zarah dari angkasa menggunakan Raman spectroscopy (salah satu alat yang abang akan guna dalam projek abang nanti insyaAllah). Abang ada tanya kawan tentang giliran untuk baut presentation dalam meeting tu, katanya sesiapa yang nak pergi konferens untuk bentangkan projek dia, bolehlah berlatih untuk present di dalam group tu dulu supaya boleh dikomen dan diperbaiki sebelum dibawa ke khalayak yang lebih ramai dan asing. Menarik! Dan abang dapat tengok dalam meeting tu, semua orang ambil perhatian semasa presentation dibuat, dan tenaga pengajar yang ada bersungguh-sungguh bertanya dan memberi pendapat untuk memantapkan projek yang dibentangkan tu. Bila lah agaknya giliran abang? (huhu..berangan..padahal halatuju projek pun belum jelas! Takpe, soon insyaAllah..) Lepas presentation tu, semua duduk bersama untuk bincang perkembangan ahli dalam group tu, beserta isu-isu semasa berkaitan universiti, fakulti dan penggunaan makmal serta alatan. Abang sebagai orang baru, hanya mampu berdiam diri (huhu..SV abang ada la perkenalkan abang pada yang lain, abang pon ingat nak perkenalkan diri, cerita sikit pasal diri, asal mana, sponsor siapa, duduk dengan siapa, projek apa dan lain-lain, tapi akhirnya, hanya tinggal dalam kepala..malu ada, segan pun ada..haih..kena perbaiki ni insyaAllah!)
Petang Khamis tu abang mula masuk makmal. Dengan bantuan Finlay, abang ditunjukkan setiap alat dan mesin yang abang akan guna dalam projek nanti. Siapa Finlay ni? Bunyinya macam rakan sebaya pulak kan? Dia sebenarnya seorang pakcik berusia 50-60an, merangkap pegawai makmal di makmal spectroscopies fakulti abang, yang bertanggungjawab menjaga dan menguruskan segala benda berkaitan alatan dalam makmal tu (InsyaAllah kalo sempat nanti abang nak bergambar dengan dia sebagai kenangan..baik sangat Finaly ni!). Abang diperkenalkan dengan beberapa alatan penting yang akan digunakan dalam projek abang nanti, antaranya Infrared (IR) microspectroscopy, Fourier Transform (FT) IR spectroscopy, Raman dan FT Raman microspectroscopy. Finlay terangkan pada abang dengan sangat terperinci satu-satu alat, macam mana ia berfungsi, apa beza satu-satunya dengan yang lain, kelebihan dan kekurangannya, walaupun abang sebenarnya 'blurr' sebab takde asas langsung tentang alat-alat tu, dan abang pun terfikir, macam pelik pulak bila abang nak buat projek Ph.D menggunakan alatan yang abang sendiri tak pernah sentuh sebelum ni! "Panjang lagi jalanku nampaknya.." getus hatiku (cewah!). Moga Allah mudahkan insyaAllah.
Pagi esoknya (Jumaat, 19/10/2012), abang dapat 'hands-on' bermain dengan alat-alat tu buat pertama kali, tapi dengan pengawasan Finlay la. Semalam tu memang tak sentuh langsung pun alat-alat tu, tengok dan dengar je penerangan 3 jam daripada Finlay! Untuk percubaan pertama ni, abang hanya 'main' dengan Raman spectroscopy je. Mula-mula kami guna sampel B-carotene yang dikatakan akan menghasilkan keputusan yang baik menggunakan Raman ni, tapi sebab sampel yang ada tu dah expired (sepatutnya dalam keadaan serbuk, tapi dah jadi setepek yang melekat kat dasar dan dinding botol..), keputusan yang diperoleh agak mengecewakan. Tapi denga penuh semangat, Finlay ajak abang cari sampel lain, sampai ke tingkat tiga bangunan fakulti sains tu kami naik! Akhirnya kami cuba guna sampel Tartaric acid (asid dalam buah anggur dan kebanyakan buah yang lain) dalam bentuk serbuk, dan hasilnya boleh tahan la alhamdulillah. A good start for a beginner!
20 Oktober, tarikh yang abang tak akan lupa sebab abang mula dapat pangkat 'abang' lepas kurang lebih 2 tahun 3 bulan abang lahir (huhu..sedih gak la sebab dah tak jadi adik paling bongsu..tapi masa kecik mana pernah fikir dan sedar kita ni adik paling kecik ke tak..tau menangis je..but anyways, I'm still the only son..jangan jeles!huhu..) Abang dah wish kan Sabtu tu? Takpe, abang wish semula di sini, "Selamat Hari Lahir ke-23 adikku sayang". Moga Allah sentiasa limpahkan rahmat dan nikmatnya untuk adik dalam apa jua bentuk, dengan tidak melalaikan adik, tapi menjadikan adik seorang yang lebih bersyukur, sabar dan redha dengan setiap pemberiannya, sama ada yang disukai mahupun tidak (al-Baqarah, ayat 216). Tup tap tup tap, kejap je adik dah 23 tahun, maknanya abang dah 25 tahun, rasa tak tua? (hehe..tua terisi dan berwawasan takpe, jangan berumur tapi tersia dan gelap masa depan!)
Huh huh huh. Baru habis minggu kedua. Ada lagi dua lagi minggu nak cerita sampai ke minggu ni. Abang dah ada isinya, cuma masa menulis agak kurang. Abang rasa elok berhenti sampai sini dulu. InsyaAllah abang akan sambung lagi dalam masa terdekat. Sekurang-kurangnya nak cerita sampai sebulan abang mulakan hidup sebagai seorang pelajar Ph.D di Monash University di Clayton, Australia ni.
Akhirnya, beberapa ibrah untuk dimuhasabah:
- Betapa Allah menjadikan setiap sesuatu itu ada fungsinya, hatta sekecil phytonutrient yang bersaiz mikro ke nano, yang tidak terlihak dek mata kasar. Untuk siapa semua ini? Tidak lain untuk manfaat kita manusia. Percumakah? Bayarannya tidak lain selain kesyukuran kepada-Nya yang diterjemahkan dengan penghambaan setulusnya dengan pelaksanaan dua tujuan hidup kita; IBADAH dan KHALIFAH.
- Jangan pernah takut untuk memulakan sesuatu yang baru (of coz yang baik-baik sahaja..), kerana larian pecut seorang atlet bermula dengan langkahan pertama seorang bayi. Nabi kita s.a.w. juga memulakan dakwahnya seorang diri, sehingga Islam akhirnya membentuk ummah yang gah dan disegani.
- Tiada alasan untuk tidak melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada kita. Usia yang lanjut tidak bermakna kudrat yang terbantut. Tidak berilmu bukan bermaksud tiada ruang berguru dan membelek buku. Nabi Musa a.s yang kurang petahnya tidak mengelat tatkala diarah Allah berhadapan Firaun musuh-Nya. Malah diminta Allah melantik saudaranya Harun demi memperkuat hujahnya dalam dia melaksanakan tanggungjawab sebagai rasul-Nya.
- Hari lahir hakikatnya telah berlalu. Kenapa kita memperingatinya? Supaya kita sedar bahawa kita sedang hidup. Kenapa kita dihidupkan? Supaya kita melaksanakan janji kepada-Nya. Apa janjinya? Bahawa Dia Tuhan kita, dan kita hamba Dia.
Wallahua'lam. Doakan abang sokmo ye dik.
1 ulasan:
Sdr Fahmi: Assalamu 'alaikum! Boleh Tuan hubungi saya di awanggonengDiyahooTITIKcoTITIKuk? Terima kasih.
Catat Ulasan